Soalan yang selalu saya ditanya oleh ibu yang menyusukan anak adalah seperti berikut:
Saya menyusukan bayi dan pada masa yang sama saya juga ingin menurunkan berat badan. Adakah diet yang rendah karbohidrat seperti SD2 selamat untuk ibu yang menyusukan ?
Kebanyakan ibu yang sudah melahirkan anak merasa terlalu teruja untuk menguruskan berat badan secepat mungkin selepas bersalin. Kita harus ingat bahawa berat masa mengandung bukanlah naik secara mendadak dan oleh itu penurunan beratnya juga haruslah dengan kaedah yang beransur-ansur. Selalunya pilihan pertama sekali yang saya berikan adalah dengan menganjurkan supaya ibu yang menyusukan memilih kaedah yang semulajadi untuk menurunkan berat badan. Memang semasa menyusukan anak kita akan membakar kalori yang lebih dari biasa. Badan kita akan membakar tenaga berlebihan pada lemak yang disimpan untuk mendapatkan susu dan ini sudah cukup untuk menurunkan berat badan dengan lebih cepat ditambah dengan makanan yang seimbang serta senaman yang sederhana. Banyak ibu-ibu yang menjaga pemakanan yang betul semasa menyusukan telah berjaya menurunkan berat badan secara beransur-ansur tanpa mengambil apa-apa program diet. Inilah pilihan terbaik untuk ibu-ibu yang menyusukan anak untuk menurunkan berat badan.
Sekiranya anda tidak sabar dan masih terpaksa untuk berdiet, adalah satu langkah yang bijak jika anda menunggu sekurang-kurangnya 2 bulan selepas bersalin dan tempoh pantang telah selesai. Sekurang-kurangnya badan anda sudah pulih dari kesan melahirkan anak dan susu yang dibekalkan sudah lancar dan mencukupi untuk bayi anda. Anda juga haruslah mendapat nasihat doktor untuk memastikan anda sudah memang cukup sihat untuk melakukan apa-apa jenis program diet sekalipun. Tiga perkara yang paling penting untuk anda pastikan semasa menyusukan bayi anda adalah meminum banyak air, perlu rehat yang cukup dan makan makanan yang sihat serta seimbang.
Ibu yang tidak cukup makanan yang seimbang mungkin akan mengalami risiko kekurangan zat makanan dan juga akan membahayakan kesihatan anda dan juga kesihatan bayi tersebut. Ini akan mengurangkan zat simpanan yang penting didalam badan serta mengurangkan kadar vitamin A, D, B6 dan B12 didalam susu ibu tersebut dan juga jumlah susu bayi juga mungkin akan berkurangan. Apabila keadaan ini terjadi, maka janganlah teruskan program diet anda dan berhentilah serta merta.
Sekiranya anda sudah mendapat nasihat doktor untuk berdiet dan memilih untuk mengambil SD2 sebagai program diet anda, maka anda perlu mengubah suai program pemakanan rendah karbohidrat seperti pada fasa pengekalan berat badan atau maintenance level; yang mana anda boleh mengambil karbohidrat yang lebih tinggi dari fasa penurunan biasa iaitu lebihkurang 100g karbohidrat sehari.
Selain dari itu anda juga pastikan perkara-perkara berikut:-
Jangan berlapar dan minum air yang cukup. Ada juga tidak boleh berlapar semasa menyusukan bayi. Ini akan menyebabkan anda merasa lemah dan letih. Apabila anda didalam keadaan seperti ini, maka anda akan kurang fokus untuk menjaga kesihatan bayi dan keadaan ini juga akan menyebabkan kekurangan susu anda dan menyekat rangsangan pengeluaran susu.
Kadar penurunan berat yang lebih sederhana. Kadar penurunan yang sederhana tidak akan mengganggu jumlah pengeluaran susu ibu atau kesihatan bayi. Namun begitu ada beberapa analisa yang menunjukkan penurunan berat badan yang pantas (iaitu lebih 0.45 kg dalam seminggu) perlu diperhatikan. Racun, dari keadaan persekitaran seperti PCBs dan racun serangga boleh tersimpan didalam lemak badan. Apabila ibu yang menyusukan turun berat badan dengan cepat, racun ini mungkin akan terlepas didalam salur darah dan kandungan racun didalam susu akan meningkat. Penurunan berat badan yang cepat juga ada dikaitkan dengan kekurangan bekalan susu badan. Sekiranya anda tidak cukup minum air maka ketone yang terdiri dari 3 jenis kumuhan badan iaitu acetone, acetoacetate dan beta-hydroxybutyrate juga mungkin terkumpul didalam saluran darah anda. Namun begitu, masih tidak dapat dibuktikan bahawa ketone yang berlebihan didalam salur darah dan air kencing anda, juga terdapat pada susu ibu dan berapakah kadar yang akan membahayakan kepada bayi yang sedang menyusu.
Sekiranya berat anda turun terlalu cepat apabila memakan SD2, maka olah jenis makanan anda supaya menambah makan buah-buahan serta sayuran berkanji yang akan memperlahankan kembali penurunan berat anda.
Suatu lagi perkara yang selalu ditimbulkan adalah apabila anda mengambil diet SD2, anda akan memakan kadar protien yang terlalu tinggi dan ini adalah membahayakan kepada bayi yang sedang menyusu. Sebaliknya perkara ini adalah cukup baik untuk penyusuan bayi. Ibu yang menyusukan akan mengeluarkan lebihkurang 6 ke 11 gram protien didalam susunya setiap hari. Bayi yang sedang membesar memang memerlukan protien yang cukup yaitu bahan asas pertumbuhan badan. Protien, bukan seperti zat makanan yang lain, tidak boleh disimpan didalam badan ibu. Jabatan Agriculture, USA menyarankan ibu yang menyusukan memakan sekurang-kurangnya 65 grams protien setiap hari. Ini sebabnya kita lihat kebanyakan ibu yang menyusukan apabila mengambil SD2 akan mengeluarkan susu yang lebih dari biasa untuk bayi mereka.
Sebenarnya, tidak semua jenis diet sesuai untuk semua orang untuk setiap masa. Tambah-tambah lagi untuk ibu yang menyusukan. Jika anda faham betul-betul cara diet SD2, maka anda perlu mengubah suai program diet anda seperti fasa “maintenance” dengan memakan lebih karbohidrat seperti buah-buahan dan sayuran berkanji, minum lebih banyak air, jangan sekali-kali berlapar dan kawal penurunan berat badan anda supaya lebih perlahan. Yang paling penting bayi anda tetap sihat dan mendapat susu serta zat makan yang cukup. Sekiranya ada perkara-perkara diatas yang menjejaskan kesihatan anda dan bayi anda maka berhentilah berdiet buat sementara dan perlu diolah kembali cara diet anda supaya lebih sesuai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan