SOALAN: Saya mendirikan rumah tangga empat tahun lalu. Sehingga kini saya belum ada zuriat. Bentuk fizikal saya besar, tetapi suami normal. Saya membuat pemeriksaan dengan klinik kesihatan dan doktor mengesahkan saya normal. Cuma haid saya tidak teratur.
Adakah teknik hubungan kelamin saya tidak betul? Apa patut saya lakukan doktor?
- Mawar, Johor
Jawapan:
Saya amat memahami permasalahan yang sedang dialami oleh puan. Memang agak tepat apa yang puan sangkakan. Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan akan mengalami infertiliti. Berbadan gempal bagi wanita boleh menyebabkan masalah dalam pengeluaran ovum atau benih oleh folikel yang matang atau dalam kenyataan biasa adalah tidak bertelur. Dalam bidang perubatan, keadaan ini dikenali sebagai tiada berlakunya pengovulan.
Sebenarnya seseorang wanita hanya bertelur sekali sahaja sebulan. Indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 20 kg/m2 atau melebihi 30kg/m2 akan memberi kesan kepada seseorang wanita untuk menghasilkan telur dengan sempurna. Penurunan berat badan bagi puan amat penting sebagai langkah rawatan bagi masalah ketidaksuburan atau infertiliti dan juga bagi menghindarkan daripada mengalami masalah lain berkaitan obesiti.
Sokongan mental, fizikal, spiritual dan juga kewangan antara suami dan isteri amatlah penting dalam menjalani rawatan infertiliti. Saya amat yakin bahawa suami puan akan bekerjasama dalam rawatan yang akan dijalani nanti. Waktu yang sesuai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan adalah setelah setahun berkahwin iaitu dalam masa itu berusaha gigih untuk mendapatkan zuriat tetapi masih gagal. Jadi amatlah elok untuk puan segera ke klinik bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Langkah pertama yang paling baik adalah berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat, penerangan berkenaan waktu subur, pengambilan penyiasatan darah hormon pada waktu tertentu seperti ujian darah bagi hormon perangsang folikel (follicle stimulating hormone-FSH), hormon peluteinan (luteinising hormone -LH), estradiol (E2) pada hari kedua atau ketiga waktu haid dan ujian hormon lain jika perlu.
Tentang niat untuk mengambil anak angkat, mungkin boleh ditunda dahulu. Saya agak teknik hubungan kelamin puan bersama suami sudah betul. Kalau perlu, puan dan suami boleh dapatkan buku-buku teknik hubungan kelamin yang banyak di pasaran.
Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid tidak teratur pula perlu menjalani ujian darah tambahan bagi hormon Prolaktin, hormon tiroid dan hormon testosteron. Selepas itu, rawatan dan pemeriksaan selanjutnya akan dijalankan.
Pemeriksaan
Seterusnya adalah pemeriksaan faraj bagi mengetahui saiz dan kedudukan rahim. Pada masa sama, ujian Pap smear boleh dijalankan.
Selain pemeriksaan faraj, puan perlu menjalani ujian imbasan ultrabunyi melalui faraj yang dikenali sebagai 'transvaginal sonography' (TVS). Tujuannya untuk mengesan sama ada rahim seseorang wanita tersebut normal atau mengalami ketumbuhan seperti endometriosis, fibroid dan sebagainya selain mengetahui kedudukan rahim sama ada ke depan (anteverted) atau ke belakang (retroverted).
Bagi lelaki, sejarah perubatan, pemeriksaan klinikal dan ujian air mani perlu dijalankan.
Antara yang boleh menyebabkan benih suami kurang bilangannya, tidak aktif atau tidak normal bentuknya adalah penyakit-penyakit jangkitan kuman yang mungkin berlaku pada umur kanak-kanak seperti deman beguk (mumps). Virus beguk boleh menyerang buah zakar dan merosakkan kilang benih lelaki.
Rawatan yang bersesuaian akan diberikan mengikut penyebab infertiliti.
Sama-sama saya doakan semoga cita-cita yang diidamkan oleh puan dan suami tercapai. Jangan sesekali jemu dan berputus asa, Insya-Allah akan ada sinar di sebalik impian tersebut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130407/kn_02/Wanita-gempal-tidak-subur#ixzz2RQlriJxo
© Utusan Melayu (M) Bhd